Showing posts with label ambition. Show all posts
Showing posts with label ambition. Show all posts

Sep 7, 2011

Cinta KOPIKO 3.


Malam itu, aku sedang tekun melayari internet sambil mendengar muzik di dalam bilik. Pintu bilik diketuk perlahan dari luar. 

“Farisya, boleh mama masuk?” terjengul kepala mama dari sebalik pintu. 

“Masuklah, mama,” aku menjawab tanpa mengangkat wajah. Mama melabuhkan punggung di birai katil. Lama aku menanti bicara keluar dari mulut mama. 

Namun, hanya kesepian yang mengisi ruang antara kami. Tidak sabar dengan situasi itu, aku terus bersuara mematikan kebisuan antara kami.

“Kenapa ni, mama? Macam isu berat je?” aku meneka.

“Mama nak Isya kahwin dengan Amir.” Sebaris sahaja ayat yang dituturkan oleh mama, tetapi cukup untuk membuatkan jantungku tersentap hebat. Aku menelan liur. Kahwin?!

“Kenapa?” Hanya itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Aku masih gagal membendung perasaan terkejut yang masih bersisa. 

Wajah kacak Amer Haiqal terbayang di dalam memori. Tidakku nafikan, perasaanku bergelojak, jiwaku kacau, hatiku tidak keruan apabila mata kami saling bertentangan walau untuk sedetik cuma.  Tapi, untuk mengahwininya… Aku pasti, itu bukan pilihan yang tepat. Mengapa? Entah…

“Kenapa apa? Isya kan dah dewasa, dah bekerjaya. Sesuai sangatlah kalau Isya mendirikan rumahtangga sekarang ni. Takkan Isya tak nak kahwin kut?” Soalanku berbalas dengan soalan jua. 

Mama kini duduk berhadapan denganku. Pandangannya amat tajam menikam wajahku. Sinar matanya seakan-akan ingin memaksa aku untuk terus bersetuju dengan permintaannya itu tanpa banyak soal bicara.  

Aku terus mendiamkan diri. Protes. Malas untuk mengendahkan permintaan mama yang aku tafsirkan sebagai satu arahan buatku. 

“Isya...” Nampaknya mama tidak akan berputus asa dengan begitu mudah. Aku mengeluh panjang. Berserabut kepala aku memikirkan hal ini. Aku terasa seumpama bahuku disangkutkan dengan beberapa batang besi konkrit yang berat.

“Isya, cuba cerita dengan mama, apa yang Isya fikirkan?”

“Kenapa Amer, mama?” akhirnya terluah juga persoalan yang bermain di fikiranku sedari tadi.

“Isya dah ada pilihan lain?” Aku membisu. Sudah kuagak, soalanku pasti tidak akan berjawab. Lama aku mendiamkan diri. 

“Mama suka sangat dengan budak Amer tu. Budaknya baik, rupa paras pun manis, sedap mata memandang. Amer tu pandai hormat orang tua, berbudi bahasa pulak tu. Mama rasa, dialah calon yang paling sesuai sekali untuk Isya. Rugi kalau Isya lepaskan budak sebaik tu, tau.”

“Tapi mama, belum tentu lagi Amer tu setuju dengan cadangan ni. Entah-entah dia dah ada pilihan lain. Dia kan kacak, berbudi-bahasa…” aku ulang kembali dialog mama.

“Kalau dia setuju, Isya pun setuju ke?” Mama bertanya penuh pengharapan.
Aku berfikir sejenak. 

‘Tengok mamat tu macam tak suka kat aku je. Mesti dia takkan setuju punyalah…’ aku membuat andaian sendiri.

Akhirnya, aku pun terus mengangguk sekadar untuk memuaskan hati mama.
Tanpa kusangka, mama menjerit kegembiraan lalu memelukku dengan erat.

“Thanks, sayang! Mama dah bincang dengan Amer, dan dia dah setuju nak kahwin dengan Isya. Kalau macam ni, lebih baik kita segerakan majlis pertunangan antara kamu berdua. Mama dah tak sabar nak dapat menantu ni.” ujar mama tanpa langsung memberiku peluang untuk bertutur. Senyuman lebar mekar menghiasi raut wajahnya.

Aku terkedu…

Beginikah sepatutnya aku akhiri zaman bujangku? Bersama orang yang tak mencintai aku? Adakah ini kesudahan episod sebuah kebahagiaan dalam hidupku?...

Aug 22, 2011

Cinta KOPIKO 2.


Pagi itu, aku tersedar tepat jam 6 pagi. Aku bangun dan segera berlalu ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Sedang aku mencuci muka, aku teringat sesuatu. 

Ya, aku teringat yang aku telah selesai bernikah semalam! Ya Allah. Mana suami aku? Aku langsung tak sedar apa yang berlaku sepanjang malam tadi. Seusai sahaja aku menghabiskan bekalan KOPIKO yang dia berikan, aku terus tertidur hingga ke pagi.

Aku membuka pintu bilik air secara perlahan. Aku menjengukkan sedikit kepala dan mengintai ruangan bilik tidur. Namun, bayangan suamiku langsung tidak kelihatan. Dimana dia tidur malam tadi? Sebelah akukah? Aku terpinga-pinga sebentar di luar bilik air. Muka yang masih basah aku abaikan. Terdapat persoalan lain yang lebih utama untuk aku fikirkan buat masa ini. 

‘Kalau dia tak tidur kat bilik, dia tidur kat mana? Mama dengan papa tahu pasal hal ni? Masaklah aku kalau mereka bertanya tentang hal ini nanti. Apa aku nak jawab? Takkan aku nak bagitahu mereka yang aku tak suka dengan perkahwinan ini?’ aku mengomel sendirian. Buntu otak aku memikirkan perkara tersebut.
Aku bersandar di bahagian tepi almari baju yang terletak bersebelahan dengan pintu bilik air. Nafas kuhela, agak panjang. Sedang aku mengelamun di situ, aku terdengar bunyi pintu almari baju tempat aku bersandar tadi ditutup. Bergegar seketika almari tersebut, tapi gegaran yang lebih hebat lagi berlaku di dalam hati aku. Aku terkejut. 

Sejak bila pula suami aku ni berada di sebalik almari itu? Aku memfokuskan pandangan ke arah wajahnya.

“A..awak,buat apa kat situ?” 

“Saya tengah makan nasi ni. Awak tak nampak ke?” selamba dia menjawab sambil mengunjukkan tangannya. Aku menjatuhkan pandangan ke arah tangannya yang kini sedang memegang sehelai kain pelekat berwarna hijau.

Aku malu sendiri lalu tergelak kecil. Tak sangka kelakar juga dia ni. Mana ada orang yang makan kat depan almari, kan. Gila ke apa?

“Sengal!” Spontan, terkeluar perkataan itu dari mulutku.

“Apa awak cakap?” mukanya berkerut seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Aku tersedar akan kesilapanku, tapi tidak segera memohon maaf.

‘Ah, biarlah. Dah memang dia sengal pun.’ detik hatiku, cuba menghalau perasaan yang sedang berusaha membuatkan aku berasa bersalah.

Aku mengatur langkah untuk masuk kembali ke dalam bilik air. Aku belum mengambil wudhuk lagi. Sedar tak sedar sudah hampir 15 minit aku berteleku berseorangan di sebalik almari sedari tadi.  

“Jadi, awak tak suka saya?” Langkahku terhenti. Debaran di dada kembali memuncak. Nadiku mula berdegup tanpa irama yang sekata.
‘Ada sakit jantung ke aku ni?’ aku mengurut dada, perlahan. Tapi debaran itu masih tidak reda. Aku gelisah.

“Farisya, saya tengah tanya kat awak ni.”

“Saya tak pernah pun cakap macam tu…” aku menjawab, jujur seketika. Memang aku tak pernah pun cakap yang aku tak suka kat dia. Ada ke? Tak salah aku, mama dan papa pun tak tahu mengenai hal tersebut.

“Sya…”Dia memanggil aku lagi. Aku benci untuk mengakui bahawa aku berasa senang bila dia memanggil namaku begitu. Terasa begitu lembut dan dekat di hati. 

Tapi, aku tak suka dia. Aku tak suka dengan perkahwinan ini. Habis, adakah itu bermakna aku bencikan dia? Benci sebab dia bersetuju untuk menikahiku tanpa mengendahkan rayuanku padanya?
Peristiwa dulu kembali mekar dalam ingatan. 

(Bila nak solat subuh nie?)

*********

Aug 21, 2011

Cinta KOPIKO.


Hai, semua. Ini salah satu karya saya untuk kamu semua. Sebagai hadiah kerana sudi membaca blog saya. Enjoy... =)


*********
Keadaan di dalam bilik terasa lebih sejuk daripada biasa. Aku bangun dari kerusi kecil berwarna merah yang terletak di pinggir bilik lalu menuju ke arah suis kipas. Nampaknya, kipas berpusing secara minimum. 
‘Apa yang tak kena ni?’ aku mengomel bersendirian. Aku mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Jemari-jemari yang mula membeku kugenggam erat. Rasa sejuk itu masih lagi tidak berkurangan. Aku mendekatkan kedua belah tanganku ke muka. Terasa hangat seketika.
“Tok! Tok! Tok!” kedengaran bunyi pintu diketuk tiga kali. Ketukan ituperlahan, tetapi cukup untuk membuatkan aku terkejut. Hatiku mula berdegup kencang. Aku tak pernah membayangkan aku akan mengalami keadaan seumpama ini seumur hidupku. 
Aku berlari anak dan terus berbaring di atas katil bersaiz Queen yang empuk. Tubuh terasa sungguh selesa sekali. Namun, debaran di hati masih bersisa. Pintu bilikku dibuka. Aku terus menarik selimut hingga menutupi wajahku. Tubuhku menggeletar. Jiwaku kacau-bilau. 
Arghhh! Macam mana aku nak hadapi saat ini? Kalau aku tahu,aku pasti akan bertanya kepada mama terlebih dahulu apa tindakan yang perlu aku lakukan pada waktu sebegini. 
Aku pasang telinga. Kedengaran bunyi langkah kaki yang diatur menuju ke arahku. Aku terus berbaring kaku.
“Ehem,ehem!” Suara itu! Semakin tak keruan aku jadinya.
‘Saya tak bersedia lagilah! Takkan itu pun awak tak faham?!’  aku menjerit di dalam hati.
“Sya,” suaranya sayup mengetuk gegendang telingaku. Aku masih lagi kaku. Aku tidak mengendahkan panggilannya, buat-buat tidur.
“Farisya binti Ahmad!” Aku tersentak. Selimut segera aku turunkan sehingga menampakkan wajahku. Aku mengukir sebaris senyuman terpaksa untuk dirinya yang kini merenung tepat ke wajahku.
Lama kami berkeadaan sedemikian sehingga aku menjadi kurang selesa. Marahkah dia kerana aku tidak mengendahkan panggilannya sebentar tadi? Aku mencari kerut marah di wajahnya. 
Dia menghela nafas beberapa kali. Akhirnya, dia tersenyum. Dia senyum kepadaku… Aku terpana seketika melihat senyuman ikhlasnya.
“Kenapa?” aku bertindak memecahkan kesunyian yang masih menguasai situasi di antara kami. Aku bangun lalu duduk bersimpuh di atas katil. Dia bangun lalu menggeleng. 
“Takde apa-apa. Ini untuk awak. Saya tahu awak tak bersedia lagi. Jangan risau, and make sure you get enough rest,” dia berkata dengan tenang. Masih lagi tersenyum. Dia meletakkan sesuatu di sebelahku. Aku mengambilnya dengan rasa kurang percaya. 
Gula-gula KOPIKO?…
                                                   *********
“Saya, Amer Haiqal Bin Zakaria, terima nikahnya Farisya binti Ahmad dengan mas kahwin sebanyak 2222 ringgit Malaysia. Tunai!” 
Saat aku dinikahkan dengannya, aku redha dengan ketentuan dan menerima dia sebagai suami aku dengan ikhlas. Tapi, aku masih lagi tidak bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ini semua adalah atas pujukan mama dan papa aku yang amat berharap aku dapat berkahwin dengannya, bertujuan untuk mengikat tali silaturrahim antara keluarga kami dan keluarga kawan mama. Kawan rapatlah, katakan.
Peristiwa malam itu masih lagi segar dalam ingatan aku. Aku baru sahaja pulang dari tempat aku bekerja. Nak tahu aku kerja apa? Hm, aku berjaya mencapai impian aku untuk menjadi seorang pegawai akauntan. Aku bertugas di sebuah firma audit, Fazlan & Co. Kini, sudah hampir dua tahun aku bekerja di firma tersebut.
Malam itu, aku merehatkan diri sambil menonton televisyen di ruang tamu. Mama dan papa aku pun turut menyertai aku. 
“Sya, kejap lagi ada kawan mama nak datang rumah,” mama aku memberitahu. Aku mendiamkan diri. Selalu kalau ada tetamu yang datang, pasti aku yang terpaksa menyediakan hidangan untuk menjamu mereka. Aku memerah otak memikirkan juadah yang sesuai untuk mereka.
“Spaghetti!” aku bersuara kuat sambil memetik jari. Sebenarnya, sudah lama aku teringin untuk memasak spaghetti untuk aku dan keluarga. Jadi, dapatlah aku gunakan alasan ini untuk kepentingan diri aku sendiri. Aku tersenyum lalu mula menyibukkan diri dengan tugasan memasak.
                                                     *********
Tetamu mama sampai di rumah seawal jam 8.30 malam. Aku menyambut mereka dengan senyuman yang ikhlas. Sepasang suami-isteri bersama anak lelaki mereka. Kami mengalukan kedatangan mereka. Setelah menjamu selera, kami duduk lalu berbual di ruang tamu. Muzik sentimental dipasang sebagai bunyi latar yang menemani perbualan kami. Muzik-muzik tersebut adalah kegemaran papa.
“Saya Amer Haiqal,” aku hanya memerhatikan sahaja tingkah-laku lelaki itu. Dia handsome, kaya, dan berbudi bahasa. Tapi entah kenapa, aku tak tertarik dengannya. Kebiasaannya, aku selalu teruja dengan mereka-mereka yang handsome macam dia. 
‘But, he is not my type!’ hatiku bersuara tegas. Aku hanya mendiamkan diri, langsung tak mencelah perbualan mama dan papa bersama mereka. Dan seperti aku, dia turut mendiamkan diri. Bukan sombong. Cuma, topik yang mereka bualkan itu langsung tidak aku fahami. Aku yakin, dia juga begitu. 
Bila ada kesempatan, mata aku pasti mencuri peluang menatap wajahnya. Entah macam mana, tiba-tiba dia juga turut menghalakan pandangan ke arahku. Dah terlambat untuk aku mengalihkan wajah. Aku terus mengukir senyuman. Senyuman pertama daripada aku untuk dia sejak dia melangkah masuk ke rumahku.
Aku menunggu reaksinya. Tapi, dia dengan selambanya mengalihkan pandangan ke arah yang bertentangan. Aku mencebik lalu mengatur langkah ke dapur. Dahaga pula tekak aku. Tambah-tambah lagi, hatiku cukup terbakar dengan sikap mamat tadi.
“Amboi, berlagak betul mamat nie! Suka hati dia saja tak endahkan senyuman aku. Melampau betul! Penat saja aku senyum seikhlasnya.” Aku membebel sekuat hati. Aku terus menghentakkan cawan yang kupegang ke sinki.
“Ehem, ehem.” Aku terkejut sehingga tersedak. Aku berpaling ke belakang. Dia sedang berdiri tegak di pintu masuk ke dapur sambil menyilangkan kedua belah tangannya. Wajahnya serius. Aku menelan liur. Tekakku masih perit disebabkan tersedak tadi. 
“Terima kasih. Spaghetti tadi sedap. Saya suka,” dia bersuara sambil melemparkan sesuatu ke arah aku. Aku terus menangkap dengan tangkas. Ops,pantas juga tindakan refleksi aku. Hehehe. Mataku tertancap pada objek di tapak tanganku.
‘Hah?! Gula-gula KOPIKO?’…

To be continued...

p/s: Sebarang komen dan kritikan daripada anda amatlah dihargai... 
(Hak cipta terpelihara =) )

HarApAn bArU...

Harapan aku nak jadi seorang penulis novel. 
Rasa macam dah ada mood untuk mula mengarang. Masa untuk mereka konsep baru, tajuk baru, plot cerita yang baru. Harapnya, moga novel kali ini tidak terkandas di tengah jalan lagi. Aku perlu lebih bersemangat serta terus berjuang untuk merealisasikan impian yang selama ini terkubur begitu sahaja.

         "Yang BULAT itu takkan datang BERGOLEK,
                            Yang PIPIH itu takkan datang MELAYANG."

p/s: Manusia tiada sayap, tapi itu tak bermakna kita tak boleh terbang!
If you fail to plan your future, you plan to fail your future!
Ganbatte kudasai, ne! Aja-aja! Fighting!

Jan 23, 2010

aku dan penulisanku

Hari ini aku berchatting seperti biasa dengan rakan baikku yang sama-sama belajar bersamaku di matrikulasi Johor setahun yang lepas di ruangan facebook. Entah bagaiman, dia tergerak untuk memberitahuku mengenai satu ruangan di internet yang memaparkan karya-karya terkini penulis di malaysia. Laman ini benar-benar menarik minatku kerana aku merupakan pencinta novel yang setia. Aku masih ingat lagi novel pertama yang aku baca adalah novel yang bertajuk "Bicara Hati" hasil karya Damya Hanna, antara penulis Alaf 21 SDN BHD yang sangat terkenal.
Aku meminjam novel itu daripada salah seorang rakanku, lebih tepat lagi, rakan baikku. Sejak itu, aku jatuh hati terhadap novel dan aku mula mengorak langkah menghasilkan novel karyaku sendiri. Tahun 2006, aku berjaya menyiapkan sebuah novel yang aku beri tajuk "TSTG" -stands for The Seven Teenage Girls. Novel ini lebih berkisar tentang kisah kehidupan kami 7 orang rakan yang sama-sama mengharungi dugaan dalam pelajaran dan percintaan, dua aspek terbesar dalam hidup seseorang, tentunya. Namun, aku agak terkilan kerana novel yang menjadi kenangan pertama untukku menggapai cita-cita sebagai penulis novel telah hilang!!! Aku tak dapat nak gambarkan perasaanku tatkala itu. sedih, kecewa dan geram, semuanya berkecamuk dalam hati yang satu ini.
Jadi, harapanku hanya satu kini. Aku ingin mencapai semula cita-cita aku yang tertunggak kian lama. Alhamdulillah, aku telah pun mula menulis cerita terbaruku.semoga impianku untuk menjadi seorang penulis pada masa hadapan akan tercapai kelak.