Aug 22, 2011

Cinta KOPIKO 2.


Pagi itu, aku tersedar tepat jam 6 pagi. Aku bangun dan segera berlalu ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Sedang aku mencuci muka, aku teringat sesuatu. 

Ya, aku teringat yang aku telah selesai bernikah semalam! Ya Allah. Mana suami aku? Aku langsung tak sedar apa yang berlaku sepanjang malam tadi. Seusai sahaja aku menghabiskan bekalan KOPIKO yang dia berikan, aku terus tertidur hingga ke pagi.

Aku membuka pintu bilik air secara perlahan. Aku menjengukkan sedikit kepala dan mengintai ruangan bilik tidur. Namun, bayangan suamiku langsung tidak kelihatan. Dimana dia tidur malam tadi? Sebelah akukah? Aku terpinga-pinga sebentar di luar bilik air. Muka yang masih basah aku abaikan. Terdapat persoalan lain yang lebih utama untuk aku fikirkan buat masa ini. 

‘Kalau dia tak tidur kat bilik, dia tidur kat mana? Mama dengan papa tahu pasal hal ni? Masaklah aku kalau mereka bertanya tentang hal ini nanti. Apa aku nak jawab? Takkan aku nak bagitahu mereka yang aku tak suka dengan perkahwinan ini?’ aku mengomel sendirian. Buntu otak aku memikirkan perkara tersebut.
Aku bersandar di bahagian tepi almari baju yang terletak bersebelahan dengan pintu bilik air. Nafas kuhela, agak panjang. Sedang aku mengelamun di situ, aku terdengar bunyi pintu almari baju tempat aku bersandar tadi ditutup. Bergegar seketika almari tersebut, tapi gegaran yang lebih hebat lagi berlaku di dalam hati aku. Aku terkejut. 

Sejak bila pula suami aku ni berada di sebalik almari itu? Aku memfokuskan pandangan ke arah wajahnya.

“A..awak,buat apa kat situ?” 

“Saya tengah makan nasi ni. Awak tak nampak ke?” selamba dia menjawab sambil mengunjukkan tangannya. Aku menjatuhkan pandangan ke arah tangannya yang kini sedang memegang sehelai kain pelekat berwarna hijau.

Aku malu sendiri lalu tergelak kecil. Tak sangka kelakar juga dia ni. Mana ada orang yang makan kat depan almari, kan. Gila ke apa?

“Sengal!” Spontan, terkeluar perkataan itu dari mulutku.

“Apa awak cakap?” mukanya berkerut seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Aku tersedar akan kesilapanku, tapi tidak segera memohon maaf.

‘Ah, biarlah. Dah memang dia sengal pun.’ detik hatiku, cuba menghalau perasaan yang sedang berusaha membuatkan aku berasa bersalah.

Aku mengatur langkah untuk masuk kembali ke dalam bilik air. Aku belum mengambil wudhuk lagi. Sedar tak sedar sudah hampir 15 minit aku berteleku berseorangan di sebalik almari sedari tadi.  

“Jadi, awak tak suka saya?” Langkahku terhenti. Debaran di dada kembali memuncak. Nadiku mula berdegup tanpa irama yang sekata.
‘Ada sakit jantung ke aku ni?’ aku mengurut dada, perlahan. Tapi debaran itu masih tidak reda. Aku gelisah.

“Farisya, saya tengah tanya kat awak ni.”

“Saya tak pernah pun cakap macam tu…” aku menjawab, jujur seketika. Memang aku tak pernah pun cakap yang aku tak suka kat dia. Ada ke? Tak salah aku, mama dan papa pun tak tahu mengenai hal tersebut.

“Sya…”Dia memanggil aku lagi. Aku benci untuk mengakui bahawa aku berasa senang bila dia memanggil namaku begitu. Terasa begitu lembut dan dekat di hati. 

Tapi, aku tak suka dia. Aku tak suka dengan perkahwinan ini. Habis, adakah itu bermakna aku bencikan dia? Benci sebab dia bersetuju untuk menikahiku tanpa mengendahkan rayuanku padanya?
Peristiwa dulu kembali mekar dalam ingatan. 

(Bila nak solat subuh nie?)

*********

Aug 21, 2011

Cinta KOPIKO.


Hai, semua. Ini salah satu karya saya untuk kamu semua. Sebagai hadiah kerana sudi membaca blog saya. Enjoy... =)


*********
Keadaan di dalam bilik terasa lebih sejuk daripada biasa. Aku bangun dari kerusi kecil berwarna merah yang terletak di pinggir bilik lalu menuju ke arah suis kipas. Nampaknya, kipas berpusing secara minimum. 
‘Apa yang tak kena ni?’ aku mengomel bersendirian. Aku mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Jemari-jemari yang mula membeku kugenggam erat. Rasa sejuk itu masih lagi tidak berkurangan. Aku mendekatkan kedua belah tanganku ke muka. Terasa hangat seketika.
“Tok! Tok! Tok!” kedengaran bunyi pintu diketuk tiga kali. Ketukan ituperlahan, tetapi cukup untuk membuatkan aku terkejut. Hatiku mula berdegup kencang. Aku tak pernah membayangkan aku akan mengalami keadaan seumpama ini seumur hidupku. 
Aku berlari anak dan terus berbaring di atas katil bersaiz Queen yang empuk. Tubuh terasa sungguh selesa sekali. Namun, debaran di hati masih bersisa. Pintu bilikku dibuka. Aku terus menarik selimut hingga menutupi wajahku. Tubuhku menggeletar. Jiwaku kacau-bilau. 
Arghhh! Macam mana aku nak hadapi saat ini? Kalau aku tahu,aku pasti akan bertanya kepada mama terlebih dahulu apa tindakan yang perlu aku lakukan pada waktu sebegini. 
Aku pasang telinga. Kedengaran bunyi langkah kaki yang diatur menuju ke arahku. Aku terus berbaring kaku.
“Ehem,ehem!” Suara itu! Semakin tak keruan aku jadinya.
‘Saya tak bersedia lagilah! Takkan itu pun awak tak faham?!’  aku menjerit di dalam hati.
“Sya,” suaranya sayup mengetuk gegendang telingaku. Aku masih lagi kaku. Aku tidak mengendahkan panggilannya, buat-buat tidur.
“Farisya binti Ahmad!” Aku tersentak. Selimut segera aku turunkan sehingga menampakkan wajahku. Aku mengukir sebaris senyuman terpaksa untuk dirinya yang kini merenung tepat ke wajahku.
Lama kami berkeadaan sedemikian sehingga aku menjadi kurang selesa. Marahkah dia kerana aku tidak mengendahkan panggilannya sebentar tadi? Aku mencari kerut marah di wajahnya. 
Dia menghela nafas beberapa kali. Akhirnya, dia tersenyum. Dia senyum kepadaku… Aku terpana seketika melihat senyuman ikhlasnya.
“Kenapa?” aku bertindak memecahkan kesunyian yang masih menguasai situasi di antara kami. Aku bangun lalu duduk bersimpuh di atas katil. Dia bangun lalu menggeleng. 
“Takde apa-apa. Ini untuk awak. Saya tahu awak tak bersedia lagi. Jangan risau, and make sure you get enough rest,” dia berkata dengan tenang. Masih lagi tersenyum. Dia meletakkan sesuatu di sebelahku. Aku mengambilnya dengan rasa kurang percaya. 
Gula-gula KOPIKO?…
                                                   *********
“Saya, Amer Haiqal Bin Zakaria, terima nikahnya Farisya binti Ahmad dengan mas kahwin sebanyak 2222 ringgit Malaysia. Tunai!” 
Saat aku dinikahkan dengannya, aku redha dengan ketentuan dan menerima dia sebagai suami aku dengan ikhlas. Tapi, aku masih lagi tidak bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ini semua adalah atas pujukan mama dan papa aku yang amat berharap aku dapat berkahwin dengannya, bertujuan untuk mengikat tali silaturrahim antara keluarga kami dan keluarga kawan mama. Kawan rapatlah, katakan.
Peristiwa malam itu masih lagi segar dalam ingatan aku. Aku baru sahaja pulang dari tempat aku bekerja. Nak tahu aku kerja apa? Hm, aku berjaya mencapai impian aku untuk menjadi seorang pegawai akauntan. Aku bertugas di sebuah firma audit, Fazlan & Co. Kini, sudah hampir dua tahun aku bekerja di firma tersebut.
Malam itu, aku merehatkan diri sambil menonton televisyen di ruang tamu. Mama dan papa aku pun turut menyertai aku. 
“Sya, kejap lagi ada kawan mama nak datang rumah,” mama aku memberitahu. Aku mendiamkan diri. Selalu kalau ada tetamu yang datang, pasti aku yang terpaksa menyediakan hidangan untuk menjamu mereka. Aku memerah otak memikirkan juadah yang sesuai untuk mereka.
“Spaghetti!” aku bersuara kuat sambil memetik jari. Sebenarnya, sudah lama aku teringin untuk memasak spaghetti untuk aku dan keluarga. Jadi, dapatlah aku gunakan alasan ini untuk kepentingan diri aku sendiri. Aku tersenyum lalu mula menyibukkan diri dengan tugasan memasak.
                                                     *********
Tetamu mama sampai di rumah seawal jam 8.30 malam. Aku menyambut mereka dengan senyuman yang ikhlas. Sepasang suami-isteri bersama anak lelaki mereka. Kami mengalukan kedatangan mereka. Setelah menjamu selera, kami duduk lalu berbual di ruang tamu. Muzik sentimental dipasang sebagai bunyi latar yang menemani perbualan kami. Muzik-muzik tersebut adalah kegemaran papa.
“Saya Amer Haiqal,” aku hanya memerhatikan sahaja tingkah-laku lelaki itu. Dia handsome, kaya, dan berbudi bahasa. Tapi entah kenapa, aku tak tertarik dengannya. Kebiasaannya, aku selalu teruja dengan mereka-mereka yang handsome macam dia. 
‘But, he is not my type!’ hatiku bersuara tegas. Aku hanya mendiamkan diri, langsung tak mencelah perbualan mama dan papa bersama mereka. Dan seperti aku, dia turut mendiamkan diri. Bukan sombong. Cuma, topik yang mereka bualkan itu langsung tidak aku fahami. Aku yakin, dia juga begitu. 
Bila ada kesempatan, mata aku pasti mencuri peluang menatap wajahnya. Entah macam mana, tiba-tiba dia juga turut menghalakan pandangan ke arahku. Dah terlambat untuk aku mengalihkan wajah. Aku terus mengukir senyuman. Senyuman pertama daripada aku untuk dia sejak dia melangkah masuk ke rumahku.
Aku menunggu reaksinya. Tapi, dia dengan selambanya mengalihkan pandangan ke arah yang bertentangan. Aku mencebik lalu mengatur langkah ke dapur. Dahaga pula tekak aku. Tambah-tambah lagi, hatiku cukup terbakar dengan sikap mamat tadi.
“Amboi, berlagak betul mamat nie! Suka hati dia saja tak endahkan senyuman aku. Melampau betul! Penat saja aku senyum seikhlasnya.” Aku membebel sekuat hati. Aku terus menghentakkan cawan yang kupegang ke sinki.
“Ehem, ehem.” Aku terkejut sehingga tersedak. Aku berpaling ke belakang. Dia sedang berdiri tegak di pintu masuk ke dapur sambil menyilangkan kedua belah tangannya. Wajahnya serius. Aku menelan liur. Tekakku masih perit disebabkan tersedak tadi. 
“Terima kasih. Spaghetti tadi sedap. Saya suka,” dia bersuara sambil melemparkan sesuatu ke arah aku. Aku terus menangkap dengan tangkas. Ops,pantas juga tindakan refleksi aku. Hehehe. Mataku tertancap pada objek di tapak tanganku.
‘Hah?! Gula-gula KOPIKO?’…

To be continued...

p/s: Sebarang komen dan kritikan daripada anda amatlah dihargai... 
(Hak cipta terpelihara =) )

HarApAn bArU...

Harapan aku nak jadi seorang penulis novel. 
Rasa macam dah ada mood untuk mula mengarang. Masa untuk mereka konsep baru, tajuk baru, plot cerita yang baru. Harapnya, moga novel kali ini tidak terkandas di tengah jalan lagi. Aku perlu lebih bersemangat serta terus berjuang untuk merealisasikan impian yang selama ini terkubur begitu sahaja.

         "Yang BULAT itu takkan datang BERGOLEK,
                            Yang PIPIH itu takkan datang MELAYANG."

p/s: Manusia tiada sayap, tapi itu tak bermakna kita tak boleh terbang!
If you fail to plan your future, you plan to fail your future!
Ganbatte kudasai, ne! Aja-aja! Fighting!

Aug 5, 2011

TAnAh KuBuR


“Kullu nafsin za~iqatulmaut - Setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati.”
          
        Kini, setiap insan di muka bumi ini sedang menghadapi cabaran bulan Ramadhan. Dan, tak dapat dinafikan bahawa setiap dari kita pasti ada terlintas walau sesaat pun ingatan mengenai maut yang boleh menjelma bila-bila masa sahaja. Sebenarnya, mengingati mati itu juga merupakan penyumbang pahala buat manusia. Malahan, kita diingatkan untuk sentiasa mengingati mati agar kita sentiasa bersedia menghadapi saat sakaratul maut.
          Mengupas mengenai isu maut ini, baru-baru ini aku tertarik dengan satu program di televisyen yang dipaparkan setiap malam, 10.30 di saluran Astro Oasis. kisahnya adalah mengenai keadaan manusia yang berbeza-beza sebaik sahaja tiba di tanah kubur dan ketika tibanya saat dikebumikan.
          Kisah malam tadi adalah yang paling menyentuh kalbu. Ia menceritakan riwayat hidup seorang lelaki tua yang hidup berseorangan di dalam sebuah rumah kampung. Semua orang di sekelilingnya sering mencaci dan mengutuk orang tua tersebut. Masing-masing sering merungut bahawa orang tua itu tidak pernah menjengukkan kepala di surau, masjid dan majlis-majlis agama yang berlangsung di kampung tersebut.
          Hakikatnya, orang tua tersebut telah uzur dan tidak senang berjalan kaki kerana sering sakit-sakit dan tidak sihat. Akhirnya, ditakdirkan dia meninggal dunia. Orang-orang kampung semua bertegas hendak menatap wajah orang tua itu dahulu sebelum jenazahnya dikebumikan. Kata orang, jenazah tak baik dibiarkan terlalu lama. Lebih baik jika diuruskan dengan segera.
          Datang pula seorang wakil dari jabatan agama tika itu. rupanya, orang tua tadi telah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan tanah perkuburan. Bimbang sekiranya tanah perkuburan di kampung itu tidak cukup untuk menampung masyarakat pada masa akan dating. Sejumlah wang bernilai 50 ribu juga telah disedekahkan untuk kebaikan masyarakat kampung. Dan, tapak rumahnya telah diserahkan untuk dijadikan tempat bernaung anak-anak yatim. Masya-Allah, begitu baik sekali pekerti orang tua itu, yang tinggal berseorangan, yang sering dikutuk masyarakat tanpa mengetahui hakikat kebenaran.
          Atas desakan semua pihak, kain yang menutupi jenazah itu diselak. Subhanallah… Bersinar-sinar wajah pak cik tersebut. Itulah yang orang namakan cahaya keimanan yang terpancar sewaktu meninggalkan dunia yang fana ini. Tertutup sudah mulut-mulut sumbang yang berbicara mengenainya sebelum ini. Ternganga masyarakat yang mencercanya sebelum ini. Tergamam semua, mengharapkan tidak mungkinkah mereka mati dalam keadaan sebegini…
          Rupanya, lelaki tua tadi mati ketika sedang beribadat. Mati dalam doanya yang penuh air mata….
Mati dalam husnul khatimah… Siapa yang tak mahu? Kesimpulannya, tengok cerita macam ni lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh rahmat, di saat hati bebas tanpa bisikan syaitan… Insya-allah, kita perlu mencari lebih banyak pahala. Allah itu Maha Pemurah, mohonlah pahala kepadanya.

Aug 3, 2011

Telatah Terawih...

Assalamualaikum...
      Bila buka blog saja, mesti ada post pasal ramadhan. Macam-macam persiapan serta ibadah puasa yang telah dilalui sepanjang dua hari ni. Jadi, dikesempatan ini Maira pun nak ucapkan Salam Ramadhan kepada semua. 
       Semoga kita menikmati sepenuhnya keberkatan dan rahmat sepanjang bulan yang mulia ini. =)
Hari kedua aku berterawih bersama ibu dan adikku. Pertama kali dalam 4 tahun ni, aku sempat berterawih bersama mereka sejak terawih pertama. Nak dijadikan cerita, Kami agak terlambat sampai di masjid. Masjid tu tak lah jauh sangat. Selalunya dapat saja duduk di barisan pertama atau kedua. Tapi kali nie, memang tak jumpa tempat nak duduk. Allah, dugaan pertama. 
       Tapi hati meronta2 juga nak solat dengan khusyuk. Seronok kan dapat berterawih nie. Aku terpisah dari mak dan adik perempuanku. Aku solat di hujung barisan sebelah kain tirai. Tengah2 menghayati bacaan Pak imam masa sujud, boleh pulak kain tirai sebelah aku tu terbang. sSampai kepala aku termasuk ke belah lelaki. Malu gila aku, nak solat pun dah tak khuyuk da. Buat2 khusyuk jelah, pandang jek tempat sujud, kan. Lepas tu, terdengar suara budak2 lelaki jerit. Tarik cepat! Tarik cepat! Nak tergelak pun ada jugak. Haisy, dugaan kedua.
Akhirnya tibalah masa untuk solat terawih pula. Tengah nak rukuk, boleh pulak budak2 lelaki yang tengah main kat sebelah tirai tu, bukak tirai dan menjenguk. Terkejut juga bila tiba2 terjengul kepala diorang. Bukan sorang, bukan dua. Tiga, empat orang jugaklah. Ada sorang tu boleh pulak tanya soalan yang boleh buat aku gelak tergolek2... 
"Bila nak balik, sayang?" sengal gila budak tu. Mujur jugaklah aku tengah di pertengahan solat. Kalau tak, dah lama kena marah budak tu. Dugaan ketiga! Sabar jelah,kan.
Ada mak cik yang solat kat belakang aku bawak anak laki dia yg kecik solat sekali. Budak tu pulak, Ya Allah... Agaknya tak pernah belajar erti duduk diam agaknya. Dia main seberang2 pulak tirai kat sebelah aku tu. Sampai terlangar2 aku yang tengah solat ni.. Aduh, dugaan lagi. MEmang banyak sangat dugaan di bulan puasa ni. JAdi, satu2nya cara kita nak hadapi segalanya adalah dengan bersabar. Bersabar kan dapa pahala, siap berganda lagi di bulan penuh rahmat ni. 
P/S: 1) kalau nak pergi bersolat di masjid yang ramai orang, jangan duduk sebelah tirai. Bila2 masa saja ia akan terbang dan menonjolkan diri anda seorang di sebalik tirai di bahagian solat lelaki. Malu....
      2) Kalau bawa budak kecil, pastikan anda ajar mereka cara 'duduk diam ketika orang sedang bersolat.' Banyak kelebihannya kepada anda dan masyarakat sekeliling.
     3) Jangan menjenguk2 bahagian lelaki atau perempuan secara tiba2, terutamanya ketika mereka sedang rukuk. Wajah anda akan kelihatan sangat pelik dari posisi atas.. harap maklum...=)
Akhir kata, 
Selamat menjalani ibadah puasa hingga ke akhirnya, dan Selamat Berterawih dengan sabar!!! =)