“Kullu nafsin za~iqatulmaut - Setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati.”
Kini, setiap insan di muka bumi ini sedang menghadapi cabaran bulan Ramadhan. Dan, tak dapat dinafikan bahawa setiap dari kita pasti ada terlintas walau sesaat pun ingatan mengenai maut yang boleh menjelma bila-bila masa sahaja. Sebenarnya, mengingati mati itu juga merupakan penyumbang pahala buat manusia. Malahan, kita diingatkan untuk sentiasa mengingati mati agar kita sentiasa bersedia menghadapi saat sakaratul maut.
Mengupas mengenai isu maut ini, baru-baru ini aku tertarik dengan satu program di televisyen yang dipaparkan setiap malam, 10.30 di saluran Astro Oasis. kisahnya adalah mengenai keadaan manusia yang berbeza-beza sebaik sahaja tiba di tanah kubur dan ketika tibanya saat dikebumikan.
Kisah malam tadi adalah yang paling menyentuh kalbu. Ia menceritakan riwayat hidup seorang lelaki tua yang hidup berseorangan di dalam sebuah rumah kampung. Semua orang di sekelilingnya sering mencaci dan mengutuk orang tua tersebut. Masing-masing sering merungut bahawa orang tua itu tidak pernah menjengukkan kepala di surau, masjid dan majlis-majlis agama yang berlangsung di kampung tersebut.
Hakikatnya, orang tua tersebut telah uzur dan tidak senang berjalan kaki kerana sering sakit-sakit dan tidak sihat. Akhirnya, ditakdirkan dia meninggal dunia. Orang-orang kampung semua bertegas hendak menatap wajah orang tua itu dahulu sebelum jenazahnya dikebumikan. Kata orang, jenazah tak baik dibiarkan terlalu lama. Lebih baik jika diuruskan dengan segera.
Datang pula seorang wakil dari jabatan agama tika itu. rupanya, orang tua tadi telah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan tanah perkuburan. Bimbang sekiranya tanah perkuburan di kampung itu tidak cukup untuk menampung masyarakat pada masa akan dating. Sejumlah wang bernilai 50 ribu juga telah disedekahkan untuk kebaikan masyarakat kampung. Dan, tapak rumahnya telah diserahkan untuk dijadikan tempat bernaung anak-anak yatim. Masya-Allah, begitu baik sekali pekerti orang tua itu, yang tinggal berseorangan, yang sering dikutuk masyarakat tanpa mengetahui hakikat kebenaran.
Atas desakan semua pihak, kain yang menutupi jenazah itu diselak. Subhanallah… Bersinar-sinar wajah pak cik tersebut. Itulah yang orang namakan cahaya keimanan yang terpancar sewaktu meninggalkan dunia yang fana ini. Tertutup sudah mulut-mulut sumbang yang berbicara mengenainya sebelum ini. Ternganga masyarakat yang mencercanya sebelum ini. Tergamam semua, mengharapkan tidak mungkinkah mereka mati dalam keadaan sebegini…
Rupanya, lelaki tua tadi mati ketika sedang beribadat. Mati dalam doanya yang penuh air mata….
Mati dalam husnul khatimah… Siapa yang tak mahu? Kesimpulannya, tengok cerita macam ni lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh rahmat, di saat hati bebas tanpa bisikan syaitan… Insya-allah, kita perlu mencari lebih banyak pahala. Allah itu Maha Pemurah, mohonlah pahala kepadanya.


No comments:
Post a Comment